Isu-Isu Yang Berkaitan Dengan Teknologi Maklumat

 

Kehadiran teknologi maklumat adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multimedia. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya di alam maya, contohnya cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan yang menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan.

 

Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan teknologi maklumat. Pada masa kini, teknologi maklumat dapat dikaitkan dengan ‘e-niaga’ atau ‘e-commerce,’ iaitu cara perniagaan melalui elektronik. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa Melayu sebagai emel). Kini ‘www.sesuatu.com.my’ bukan lagi satu perkara yang baru. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam negara malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui email. Justeru, jelaslah bahawa perkembangan teknologi maklumat membawa kesan yang positif dari aspek perniagaan kepada masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

 

Seterusnya, internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan belia. Aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.

 

Selain itu, jika perkembangan teknologi maklumat tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan agama yang disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada sesebuah negara amnya. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi mewujudkan huru-hara di dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh sesebuah negara dan masyarakat. Oleh itu, kesan negatif teknologi maklumat boleh mengelakkan masyarakat ke kancah perang sivil dan kaum.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s